Tuesday, 20 August 2019

One Asma' - prologue

Prologue

Sedang seorang anak gadis melayari keindahan malam, daya ingatannya mengimbas kembali kisah perjalanan hidupnya. Akan tetapi, dia sedar bahawa banyak perkara yang dia tidak mampu mengingat kembali. Barangkali memori tersebut tidak begitu penting lantaran dipadam dari ruang simpanan. Hati kecilnya berbisik untuk menenangkan jiwa yang bergelora.

Memikirkan kembali waktu-waktu yang dilalui, terasa waktu yang pergi begitu cepat berlalu. Sungguhlah yang dikatakan bahawa semakin bumi menghampiri kiamat, semakin cepat masa berlalu. Baru sahaja terasa seperti kelmarin hari raya korban disambut, kini seminggu lebih telah berlalu.

Sesekali, jarinya bergerak di atas skrin telefon pintar melayari media sosial untuk mengurangkan kebosanan. Satu per satu gambar di Instagram ditiliknya. Setelah bosan, dia beralih pula ke Facebook. Dibukanya profil sendiri untuk menukar gambar profil. Setelah semuanya selesai, dia membelek profilnya yang baru diubahsuai.

Tiba-tiba, matanya terpaku pada album gambar yang memaparkan wajah-wajah insan yang pernah mewarnai hidupnya. Memorinya terhenti di suatu tempat yang begitu istimewa di hatinya. Tempat yang telah menjadi saksi gelak tawa dan tangisan mereka untuk menuntut ilmu dan mencari erti kehidupan. Bibirnya menarik senyum segaris. "Apalah yang depa dok buat la ni agaknya?" soalnya hati kecilnya.

No comments:

Post a Comment